Panduan Urusan Jual Beli Kereta Melalui Internet

Setiap hari semakin ramai menggunakan internet termasuk untuk tujuan membeli-belah dan kebelakangan ini semakin ramai rakyat Malaysia menggunakannya untuk mengiklankan produk yang hendak dijual. Begitu juga dalam urusan jual beli kenderaan, kini terdapat pelbagai laman web menawarkan urus niaga kenderaan baru dan terpakai. Apa yang perlu kita lakukan hanyalah memasukkan gambar kenderaan, memberikan buturan lengkap termasuk usia serta harga dan nombor telefon untuk dihubungi. Bagaimanapun, sama ada yang mengiklan atau yang hendak membeli melalui internet, berhati-hatilah bagi mengelak menjadi mangsa penipuan atau dirompak (ketika menghantar barang atau kereta). Ciri-ciri internet menjadikan kerja mencari kereta yang kita inginkan lebih mudah kerana kita boleh menggunakan fungsi carian.
Berikut adalah beberapa panduan melakukan urusan jual beli kereta menerusi internet:
- Tentukan jenis kereta yang dicari
Pertimbangkan sebab anda perlu membeli kereta, berapa bajet anda serta keadaan kereta yang anda inginkan seperti jenama, kos bahan api, pemanduan, keselesaan dan keadaan kereta. - Layari laman web berkaitan
Terdapat banyak laman web dan forum menyiarkan laporan pandu uji atau pengalaman menggunakan sesebuah kereta. Anda boleh mengetahui baik dan buruknya sesebuah kereta itu melalui komen-komen yang diberikan di dalam laman web dan forum berkenaan. - Kunjungi laman web yang bukan bersifat komersial untuk maklumat
Melalui laman web ini, anda akan mendapat gambaran bebas mengenai sesuatu jenis kereta. Bagaimanapun, pastikan maklumat dalam web berkenaan dihasilkan mereka yang profesional mengenai automotif kerana tidak semua orang boleh memberikan penjelasan terbaik mengenai enjin atau sistem lain kenderaan. - Periksa nilai jual balik dan perkhidmatan selepas jualan kereta yang anda akan beli
Cari maklumat melalui majalah atau media lain mengenai kereta terbabit atau lebih senang, hubungai pusat servis syarikat kereta. Maklumat juga boleh didapati melalui laman web sesebuah syarikat kereta. - Bagi kereta baru, cari maklumat lengkap di laman web syarikat kereta
Dapatkan maklumat mengenai kereta yang ingin anda beli termasuk gambar, jenis model, aksesori dan harga asal pengeluar bagi memudahkan anda membuat keputusan. Ia juga berguna untuk membuat perbandingan harga jika mahu membeli kereta terpakai. - Layari laman web memuatkan iklan kereta berkenaan
Melalui laman web itu, anda boleh mengetahui harga kereta yang anda inginkan untuk dipertimbangkan sama ada wajar atau tidak. Bandingkan harganya dengan kereta jenama lain dengan spesifikasi hampir sama. Jika kereta terpakai, bandingkan harganya dengan penjual lain. - Berjaga-jaga
Selepas selesai urusan rundingan bagi membeli kereta termasuk harga dan penghantaran, seelok-eloknya lihatlah sendiri kereta berkenaan dan jang menilai hanya berdasarkan gambar. Pastikan anda membuat bayaran hanya selepas berpuas hati dengan keadaan kereta dan semua dokumen jual beli lengkap. Selepas membuat bayaran, anda kini menunggu penyerahan kereta. Mungkin itulah kali pertama anda menemui penjualnya dan sehubungan itu, berhati-hati. Seelok-eloknya bawalah rakan atau saudaramara bersama sebagai langkah berjaga-jaga.